Kementerian Kesihatan semarakkan Majlis Bertadarus Istana Nurul Iman




Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad / Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said





BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 24 Februari. - Majlis Bertadarus Malam-malam Bulan Ramadan bagi Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi diadakan bagi malam ketujuh dengan kehadiran kira-kira 700 orang di dua tempat berasingan di Istana Nurul Iman.


Hadir pada majlis yang berlangsung di Surau Istana Nurul Iman, Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar; dan Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Pengurusan), Pengiran Mohammad Khiruddin bin Pengiran Haji Yusoff.


Majlis dimulakan dengan menunaikan Sembahyang Fardu Isyak Berjemaah, seterusnya Sembahyang Sunat Witir dan Sembahyang Sunat Tarawih Berjemaah.


Tazkirah bertajuk 'Hidupkan Bulan Ramadan dengan Asmaul Husna : At-Tawwab (Yang Maha Penerima Taubat)' turut menyerikan lagi acara berkenaan, masing-masing disampaikan oleh Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Da'wah Islamiah (PDI), Awang Haji Awang Muhammad Najib bin Haji Awang di ruangan jemaah lelaki, manakala Pegawai Perkembangan Ugama, Pejabat Unit Da'wah Daerah Tutong, Dayang Nurhuwaina binti Mamud pula di ruangan jemaah perempuan.


Turut hadir menyerikan majlis di ruangan jemaah perempuan, Pemangku Setiausaha Tetap, Kementerian Kesihatan, Dr. Dayang Hajah Rafidah binti Haji Gharif.


Disusuli dengan bacaan Tadarus Al-Quran dan diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.


Juga hadir pada majlis berkenaan ialah pegawai dan kakitangan dari Kementerian Kesihatan.


Close